Analisa AsiaBarat: Knesset Israhell lulus hukuman mati terhadap tahanan Palestin, Ini apa yang kita perlu tahu

Facebook
X
LinkedIn

1. Parti-parti politik Israhell & komposisi kerajaan vs pembangkang

Parlimen di Israel di panggil sebagai Knesset dan Israel mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan 120 kerusi di Knesset, di mana kerajaan biasanya dibentuk melalui gabungan beberapa parti politik.

Kerajaan semasa dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melalui gabungan parti kanan dan ultra-kanan termasuk Likud, Religious Zionism dan Otzma Yehudit.

Perkembangan terbaru menunjukkan perubahan penting dalam lanskap politik Israhell tersebut apabila Knesset telah meluluskan rang undang-undang yang membolehkan hukuman mati dikenakan terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut terhadap warga Israel.

Rang undang-undang ini diluluskan dengan undian majoriti mudah 62 menyokong berbanding 48 menolak, menunjukkan bahawa walaupun kerajaan mempunyai kelebihan bilangan kerusi, namun masih terdapat bangkangan ketara daripada blok pembangkang yang terdiri daripada parti-parti centrist dan liberal

2. Bagaimana rang undang-undang ini muncul & siapa yang mula bawa dan cadangkan?

Dari sudut proses perundangan, rang undang-undang ini dikaitkan secara langsung dengan parti ultra-kanan Otzma Yehudit yang diketuai oleh Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben-Gvir. Parti tersebut telah lama memperjuangkan pelaksanaan hukuman lebih keras terhadap rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan domestik Israel.

Sokongan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu terhadap rang undang-undang ini juga dilihat berkait rapat dengan keperluan mengekalkan kestabilan kerajaan campuran yang bergantung kepada sokongan parti-parti sayap kanan.

Menurut laporan media antarabangsa, rang undang-undang ini telah melalui beberapa peringkat perbahasan sejak 2025 sebelum diluluskan secara rasmi pada 30 Mac 2026. Kelulusan ini dilihat sebagai kemenangan politik bagi blok sayap kanan yang semakin dominan dalam menentukan hala tuju dasar keselamatan Israel

3. Kesan yang bakal di hadapi tahanan Palestin

Undang-undang kejam ini membolehkan mahkamah, termasuk mahkamah tentera di wilayah Palestin, menjatuhkan hukuman mati terhadap individu yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut terhadap warga Israel.

Beberapa pemerhati politik antarabangsa menyatakan kebimbangan bahawa prosedur mahkamah tentera mungkin tidak memberikan tahap perlindungan undang-undang yang setara seperti sistem perbicaraan sivil biasa, sekali gus menimbulkan persoalan dari sudut keadilan prosedur dan hak asasi manusia.

4. Semua Rakyat Israhell menyokong ke? apa Reaksi rakyat Israel?

Dari sudut reaksi masyarakat, keadaan di Israel menunjukkan masyarakat juga terbahagi kepada beberapa pihak. Sebahagian rakyat Israel menyokong undang-undang ini atas alasan keselamatan dan pencegahan serangan masa depan, dengan beberapa tinjauan terdahulu menunjukkan majoriti responden Yahudi Israel menyokong hukuman mati bagi kes serangan maut terhadap warga Israel. Penyokong melihat undang-undang ini sebagai langkah tegas bagi melindungi keselamatan awam serta memberi keadilan kepada mangsa serangan keganasan.

Namun demikian, terdapat juga kritikan daripada dalam Israel sendiri, termasuk daripada ahli akademik undang-undang, kumpulan hak asasi manusia dan sebahagian parti pembangkang yang berpendapat undang-undang ini boleh mewujudkan sistem keadilan yang bersifat tidak seimbang serta memberi kesan negatif terhadap imej antarabangsa Israel. Sesetengah pihak berpendapat pendekatan hukuman mati dalam konteks konflik berpanjangan berisiko meningkatkan lagi ketegangan serta menyukarkan usaha mencari penyelesaian politik jangka panjang

5. Bagaimana Pula Respon Masyarakat antarabangsa?

Bantahan lebih jelas kelihatan dalam kalangan rakyat Palestin serta komuniti antarabangsa. Demonstrasi dilaporkan berlaku di beberapa kawasan Palestin sebagai reaksi terhadap kelulusan undang-undang tersebut. Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga turut menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang ini berpotensi melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan boleh meningkatkan lagi ketegangan konflik.

Secara keseluruhannya, kelulusan undang-undang ini bukan sekadar isu perundangan domestik Israel, tetapi mempunyai implikasi geopolitik yang lebih luas terhadap konflik Israel-Palestin. Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana dinamika politik dalaman Israel memberi kesan langsung terhadap keadaan keselamatan, hak asasi manusia serta prospek keamanan di rantau Asia Barat.

Huzayl Mohd

Pegawai Penyelidik dan Advokasi