1. Sepenting apakah Selat Bab al-Mandeb kepada dunia?
Bab al-Mandeb merupakan selat strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan seterusnya ke Lautan Hindi, sekali gus menjadi laluan utama perdagangan antara Asia dan Eropah melalui Terusan Suez. Dianggarkan sekitar 10–12% perdagangan global melalui laluan Laut Merah setiap tahun menurut UNCTAD Maritime Report. U.S. Energy Information Administration pula menganggarkan sekitar 6.2 juta tong minyak sehari melalui Bab al-Mandeb pada 2023, menjadikannya antara choke point tenaga paling kritikal dunia. Laluan ini digunakan untuk penghantaran minyak mentah, gas asli (LNG), barangan pengguna, kontena perdagangan global, bahan mentah industri serta produk makanan ke pasaran antarabangsa. Negara dan ekonomi besar seperti Kesatuan Eropah, China, Jepun, Korea Selatan dan India sangat bergantung kepada laluan ini kerana ia merupakan jalan perdagangan paling pendek antara Asia dan Eropah.
Sekiranya Bab al-Mandeb disekat, kapal dagang perlu mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan, yang boleh menambah sekitar 10–15 hari tempoh penghantaran serta meningkatkan kos bahan api, kos insurans maritim dan harga barangan global menurut Lloyd’s List Intelligence. Gangguan di selat ini boleh memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global termasuk sektor tenaga, makanan, barangan industri dan perdagangan kontena. Oleh sebab itu, kestabilan Bab al-Mandeb dilihat sangat penting kepada ekonomi global kerana sebarang gangguan boleh memberi kesan langsung kepada harga minyak, inflasi dan kestabilan perdagangan antarabangsa.
2. Kenapa Amerika Syarikat dan Eropah sangat bimbang jika Bab al-Mandeb ditutup?
Amerika Syarikat dan negara Eropah sangat bimbang jika Bab al-Mandeb ditutup kerana selat ini merupakan antara maritime “checkpoint” paling penting dalam sistem perdagangan global. Laluan Laut Merah – Terusan Suez – Bab al-Mandeb menjadi nadi utama perdagangan antara Asia dan Eropah, termasuk penghantaran komponen elektronik, industri mesin, tenaga dan barangan pengguna. Sebarang gangguan boleh menjejaskan rantaian bekalan global serta meningkatkan harga barangan dan inflasi, khususnya di Eropah yang semakin bergantung kepada import tenaga sejak konflik Ukraine. Menurut Center for Strategic and International Studies (CSIS), gangguan di Bab al-Mandeb boleh memberi kesan langsung kepada harga minyak global, kos logistik antarabangsa dan kestabilan perdagangan dunia.
Mudahnya, penutupan Bab al-Mandeb berpotensi meningkatkan harga minyak global, mengganggu rantaian bekalan antarabangsa serta menjejaskan ekonomi Eropah dan Asia. Oleh sebab itu, Amerika Syarikat dan negara Eropah melihat keselamatan selat ini sebagai kepentingan strategik global, bukan sekadar isu serantau di Yaman, kerana kestabilannya berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dunia.
3. Apakah keadaan semasa di Selat Bab al-Mandeb Sekarang?
Kawasan sekitar Bab al-Mandeb tidak dikuasai sepenuhnya oleh satu pihak sahaja. Walaupun Houthi mengawal sebahagian pantai barat Yaman, kawasan selat ini juga dipantau oleh pelbagai aktor termasuk tentera laut antarabangsa. Kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa masih mempunyai sokongan ketenteraan daripada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. UAE khususnya menyokong beberapa kumpulan bersenjata tempatan di selatan Yaman yang turut mempunyai pengaruh di kawasan pesisir Laut Merah.
Selain itu, laluan perdagangan di Laut Merah juga sering dipantau oleh kuasa antarabangsa bagi memastikan kebebasan navigasi kekal terjamin, memandangkan kepentingan ekonomi global yang tinggi di kawasan tersebut.
Walaupun Houthi mempunyai keupayaan menyerang kapal menggunakan dron dan peluru berpandu anti-kapal, kawalan sepenuhnya ke atas selat Bab al-Mandeb memerlukan keupayaan ketenteraan yang jauh lebih besar termasuk penguasaan berterusan di kedua-dua sisi selat.
4. Anggaran kekuatan ketenteraan Houthi Ketika ini
Kekuatan ketenteraan Houthi harini boleh dikatakan berbeza mengikut sumber kerana struktur mereka yang kompleks dan melibatkan militia, unit separa tentera dan penyokong bersenjata tempatan agak sukar untuk ditentukan secara tepat. Secara anggaran, Jumlah anggota tentera dianggarkan sekitar 20,000–30,000 adalah merupakan “core fighters dan mempunyai anggaran 350,000 anggota bersenjata termasuk militia dan mobilisasi tempatan. Houthi sendiri pernah juga mendakwa mempunyai lebih 1.1 juta penyokong bersenjata, tetapi angka ini dianggap sebuah “exaggeration”. Secara realistik, kebanyakan pengkaji menganggarkan kekuatan Houthi adalah anggaran 100,000 – 350,000 maximum.
Dalam konteks peluru berpandu dan dron, Houthi memiliki salah satu arsenal peluru berpandu paling besar dalam kalangan kumpulan bersenjata “non-state actor” di Asia Barat. Sepanjang konflik Yaman, mereka telah melancarkan sekurang-kurangnya 200 peluru berpandu balistik dan cruise, termasuk varian Burkan-1, Burkan-2H, Qaher-1 dan Palestine-2 yang dianggarkan mempunyai jarak sehingga sekitar 2,000 km.
Dari segi teknologi dron, Houthi menggunakan model seperti Qasef-1, Qasef-2K, Samad-2 dan Samad-3 untuk menyerang sasaran darat dan maritim, termasuk serangan ke atas Arab Saudi sejak 2017. Di Laut Merah, kumpulan ini juga menggunakan peluru berpandu anti-kapal, dron maritim tanpa pemandu serta periuk api laut untuk menyerang kapal dagang, dengan lebih 100 serangan direkodkan sejak 2023. Selain itu, Houthi turut menguasai sejumlah senjata berat seperti kereta kebal, pelancar roket dan sistem pertahanan udara lama selepas merampas aset daripada tentera Yaman.
5. Sejauh mana Houthi mampu dan akan menutup selat Bab al-Mandeb?
Sebelum itu, penting untuk kita faham, apakah yang dimaksudkan dengan “menutup selat”. Dalam konteks ketenteraan moden hari ini, “menutup selat” tidak semestinya perlu menguasai kawasan selat secara fizikal sepenuhnya, tetapi cukup dengan meningkatkan risiko keselamatan sehingga kapal dagang memilih untuk mengelak daripada lalu laluan tersebut.
Houthi telah menunjukkan keupayaan menjalankan serangan maritim menggunakan dron, peluru berpandu anti-kapal dan bot tanpa pemandu (USV). Serangan berkala sudah cukup untuk meningkatkan kos insurans perkapalan, menjejaskan keyakinan syarikat logistik global serta memaksa sebahagian kapal untuk menukar laluan. Namun untuk menutup selat Bab al-Mandeb sepenuhnya memerlukan kapasiti ketenteraan yang berterusan di kawasan pesisir Laut Merah, keupayaan pengawasan maritim konsisten, kawalan yang 24 jam ke atas pelabuhan ini serta kemampuan menahan jika ada serangan tentera laut oleh kuasa besar AS/Eropah.
Namun, sekarang ini Houthi tidak boleh menumpukan sepenuhnya kekuatan ketenteraan ke Selat Bab al-Mandeb kerana mereka masih terlibat dalam konflik darat berterusan di Yaman. Mereka perlu mengekalkan sumber ketenteraan untuk mempertahankan Sanaa, mengawal wilayah utara Yaman, menghadapi pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta kumpulan bersenjata di selatan yang disokong UAE. Sumber ketenteraan Houthi adalah terhad ketika ini, dan ini menyebabkan mereka perlu membahagikan kekuatan kepada beberapa front termasuk perang darat, keselamatan dalaman dan pertahanan udara daripada serangan luar. Jika terlalu banyak aset dialihkan ke operasi maritim, mereka berisiko melemahkan kedudukan di medan perang domestik.
Pandangan saya, secara realistik, Houthi mempunyai kemampuan untuk mengganggu keselamatan maritim melalui pendekatan peperangan asimetri seperti serangan simbolik dan gangguan berkala sahaja, dan ianya memberi kesan danmampu meningkatkan kos perdagangan global.
Namun untuk menutup selat Bab al-Mandeb sepenuhnya dalam jangka panjang memerlukan komitmen yang besar dan berpanjangan, dan itu diluar kemampuan Houthi. Pada tahap semasa, Houthi lebih berkemampuan mencipta ketidakstabilan di selat ini berbanding menguasai selat ini secara mutlak.
Huzayl Mohd
Pegawai Penyelidik dan Advokasi



